Pernah tak kita duduk diam sekejap dan berfikir.
“Aku ni sebenarnya siapa?”
Jawapan bukan pada IC kita tetapi asal-usul diri kita.
Rasulullah ﷺ pernah ceritakan satu hakikat yang sangat mendalam mengenai manusia ini bermula bukan dengan hebat, bukan dengan kekuatan tapi daripada sesuatu yang sangat kecil.
Setitis air mani.
Kemudian jadi segumpal darah. Bertukar menjadi segumpal daging. Tulang terbentuk, dibalut dengan daging dan akhirnya roh pun ditiupkan.
Waktu itu, kita belum boleh bercakap. Belum boleh memilih tapi takdir sudah ditulis.
Empat perkara ditetapkan iaitu:
1. Rezeki
2. Ajal
3. Amalan
4. Bahagia atau sebaliknya
Semua ini bukan untuk buat kita rasa putus asa sebaliknya membuat kita lebih sedar. Meskipun takdir telah ditulis, amalan tetap di tangan kita.
Kita mungkin lahir dalam keadaan berbeza.
Ujian kita tak sama. Rezeki kita tak serupa namun jalan menuju syurga atau neraka bermula dengan pilihan kecil yang kita buat setiap hari.
Cara kita solat.
Cara kita jaga hati orang.
Cara kita bangkit bila jatuh.
Dan cara kita kembali pada Allah bila tersasar.
Hadis ini mengajar satu benda yang sangat lembut tapi tegas: Manusia ini dicipta sebaik-baik kejadian. Maka jangan rendahkan diri dengan meninggalkan kebaikan.
Teruskan istiqamah walaupun penat. Teruskan buat baik walaupun tak dihargai dan jangan berhenti berdoa agar akhir hidup kita berakhir dengan husnul khatimah